Seorang penduduk sekitar merakam gambar seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilekatkan di sekitar kawasan Kampung Pantai ketika tinjauan sekitar kawasan tersebut. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kehilangan Nora Anne terus jadi tanda tanya

NILAI, 13 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, memasuki hari kesepuluh hari ini sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban, 4 Ogos lepas.

Keberadaan dan nasib remaja itu terus menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat, bahkan juga dalam kalangan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, SuperintendanMohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan ringkas di aplikasi WhatApps di sini memberitahu media yang mereka dibenarkan mengikuti petugas Op SAR buat kali kedua selepas pelawaan pertama dibuat semalam.

“Anda hendaklah melapor kepada Inspektor Harminder di substek (khemah pusat operasi SAR). Adalah diingatkan risiko keselamatan adalah tanggungjawab sendiri,” katanya ringkas.

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesepuluh hari ini, setakat semalam membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini dengan sidang media akan perkembangan pencarian hari ini dijangka diadakan pada pukul 5 petang ini.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Semalam ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga menemukan gadis.

-BERNAMA


Pengarang :