AGENDA

Kehilangan tonggak utama punca tewas di laman sendiri

SHAH ALAM, 9 OGOS : Beraksi tanpa beberapa tonggak utama dan terpaksa menggunakan pemain dari skuad Piala Presiden memberi kesan kepada pasukan UiTM FC sehingga mereka tewas 0-2 kepada PKNP FC dalam perlawanan Kumpulan B saingan Piala Malaysia di tempat sendiri malam tadi.

Ketua Jurulatih UiTM FC Ismail Zakaria berkata dua pemain import dan tiga pemain senior tidak dapat diturunkan akibat kecederaan menyebabkan posisi mereka terpaksa digantikan dengan pemain dari pasukan Piala Presiden.

“Kita ada banyak peluang untuk mencipta gol tetapi gagal untuk menterjemahkannya, mungkin disebabkan beberapa pemain kurang pengalaman,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan itu di Stadium UiTM di sini malam tadi.

Katanya walaupun tewas, persembahan beberapa pemain muda patut dipuji.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata kehilangan beberapa tonggak utama UiTM FC adalah peluang buat pasukannya untuk mencipta kemenangan pertama dalam saingan itu.

“Ini adalah satu peluang untuk kita bangkit dan walaupun pasukan pilihan kumpulan B untuk ke suku akhir adalah PJ City dan JDT tetapi kami akan tetap memberi saingan sengit sehingga perlawanan yang terakhir,” katanya.

Pada perlawanan itu, PKNP mendahului pada minit ke-45 menerusi jaringan pemain Import dari Filipina, Amani Santos Aguinaldo dan lima minit sebelum tamat perlawanan, Pedro Victor berjaya menjaringkan gol kedua buat pasukannya.

-BERNAMA


Pengarang :