Dr. Mahathir Mohamad
BERITA UTAMA

Kejayaan individu bergantung kepada nilai hidup

PUTRAJAYA 13 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat negara ini harus memahami bahawa yang menentukan kejayaan seseorang itu bergantung
kepada nilai hidup individu dan bukan kerana warna kulit atau lain-lain faktor.

Menurut beliau, sebagai contoh, jika seseorang itu malas, tidak mahu bekerja sudah pasti seseorang itu tidak akan berjaya.

“Sebaliknya kalau kita rajin, kita tumpukan kepada kerja kita dan lakukan kerja itu dengan baik tentu hasil kerja kita juga akan menjadi baik dan kita juga akan
berjaya dalam kehidupan,” kata Perdana Menteru ketika melancarkan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr Mahathir Mohamad hadir melancarkan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Puspanitapuri Putrajaya hari ini. Foto/BERNAMA.

Menurut beliau, di negara ini, rakyat hidup secara bermasyarakat dan sudah tentu tindakan setiap individu itu menjadi perkara penting dalam membina negara.

“Kalau kita tidak tahu bagaimana sifat apa yang perlu ada kepada kita maka kita tidak dapat hidup sempurna dalam masyarakat dan masyarakat juga tidak akan jadi
sempurna,” tegas Dr. Mahathir.

Perdana Menteri berkata, setiap rakyat negara ini juga harus berpegang kepada amanah yang merupakan salah satu nilai mulia bagi memastikan setiap anggota masyarakat
di negara ini tidak menerima kesan buruk jika mereka tidak berpegang kepada sikap amanah itu.

“Umpamanya, kalau kita mengambil barang bukan hak kita, perkara biasa, siapa saja boleh buat. Dan kita berpendapat oleh kerana tiada siapa melihat maka kita ambil barang yang
bukan milik kita, kerana kita berpendapat, tidak ada siapa yang akan bertindak terhadap kita.

“Kalau kita mempunyai sifat semacam itu dan anggota-anggota lain dalam masyarakat juga begitu, maka kali ini kita mengambil harta orang lain, lain kali orang akan
mengambil harta kita, jadi sudah tentu masyarakat akan jadi kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram tidak aman tidak stabil,”jelas beliau.

Justeru, Dr Mahathir berkata, nilai hidup rakyat negara ini perlu disusun semula dan diterap kepada anak-anak bagi membina masyarakat yang berjaya.

“Ini menjadi satu daripada tugas pendidikan dalam satu-satu masyarakat yang bertanggungjawab. Kita perlu tentukan apakah pegangan, apakah sifat yang perlu ada pada
anggota kepada anggota masyarakat kita, supaya semua anggota akan menyumbang kepada kebaikan masyarakat bahkan. saya berpendapat, satu usaha mendidik dalam bidang
sivik menjadi satu perkara yang penting,”jelasnya.

Perdana Menteri memberitahu, sivik mempunyai kaitan dengan masyarakat dan akan menentukan perbuatan dan tindak tanduk hidup dalam masyarakat.

“Masyarakat yang utamakan kebebasan, kita dapati tindak tanduk mereka tidak begitu baik dan mereka juga akan merasai tekanan daripada tindakan orang lain dalam
masyarakat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kalaulah, kesedaran sivik berjaya ditanam dalam kalangan anak-anak sudah tentu apabila mereka membesar, mereka tidak akan melakukan apa yang
memburukkan atau mendatangkan kesan tidak baik kepada masyarakat.

Menurut Dr. Mahathir, kebersihan tandas di negara-negara luar mencerminkan masyarakat negara tersebut amat bertanggungjawab sehingga menjaga kemudahan awam tersebut.

“Bagaimanapun, saya amat malu kerana lihat tandas di Malaysia yang biasanya tidak bersih dan berbau busuk,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata, keadaan tandas kotor itu juga secara tidak langsung mencerminkan sifat yang ada pada rakyat negara ini yang tidak berasa malu.Banyak lagi perasaan sivik yang boleh menentukan keadaan sekeliling kita lebih nyaman lebih baik”,”ujarnya.

Justeru tambahnya,  beliau berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.


Pengarang :