Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman menyampaikan hadiah kepada juara, Royal Town Warriors selesai Perlawanan Akhir Liga Kesatuan Ragbi Selangor 2019 (KRS) di Politeknik Shah Alam. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kejohanan Liga KRS jadi platform ke Piala Agong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kejohanan Liga Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) yang berakhir hari ini menjadi platform pemilihan pemain untuk beraksi mewakili Selangor ke Kejohanan Piala Agong nanti.

Pemangku Presiden KRS, Mohd Hafiz Mohd Zaki berkata, kejohanan peringkat kebangsaan itu akan diadakan pada Oktober nanti dan membabitkan kesemua pasukan negeri-negeri seluruh negara.

“Dalam kejohanan ini kita mencari pemain-pemain yang terbaik untuk mewakili Selangor dan seterusnya mencabar pasukan negeri lain dalam Piala Agong nanti.

Aksi perlawanan Royal Town Warriors menentang KL Tigers dalam Perlawanan Akhir Liga Kesatuan Ragbi Selangor 2019 (KRS) di Politeknik Shah Alam. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Tarikh Kejohanan Liga KRS ini juga sengaja dipilih supaya pemain bersedia dan selepas ini menjalani latihan lebih kurang sebulan sebelum Piala Agong bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga KRS di Padang Ragbi Politeknik Shah Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Kejohanan Liga KRS kali ini dijuarai oleh Royal Town Warriors selepas menewaskan KL Tigers di tempat kedua pada perlawanan hari ini.

Sebagai juara, Royal Town Warriors membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 di samping piala iringan dan KL Tigers pula meraih hadiah wang tunai RM1,500 dan piala iringan.

Manakala tempat ketiga dimenangi KL Saracens dan keempat Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

Hadiah-hadiah disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Pengarah Kejohanan, Ahmad Nizam Mohd Sabri berkata, kejohanan Liga KRS yang berlangsung 22 Jun hingga 17 Ogos 2019 ini membabitkan 15 pasukan yang bernaung di bawah KRS.

“Sambutan kali ini lebih baik dan kemudahan terutamanya perubatan juga lebih sempurna apabila kita mengambil keputusan mengadakan kesemua perlawanan di Padang Ragbi Politeknik Shah Alam ini,” katanya.

Lapan pasukan terbaik pada kejohanan kali ini akan mengisi slot Liga Satu dan selebihnya akan mengisi Liga Kedua pada Kejohanan Liga KRS tahun hadapan.


Pengarang :