Pengusaha Kek Lapis Sarawak, Maria Ngui Sai Moi menunjukkan kek lapis ‘Mooncake’ atau kek lapis Bulan di kedainya sempena sambutan Festival Bulan yang bakal disambut oleh kaum Cina awal September. – fotoBERNAMA
RENCANA

Kek lapis Mooncake gabung tradisi kaum Cina

KUCHING, 4 OGOS : Sebut sahaja kek lapis pasti ramai akan mengaitkannya dengan Sarawak kerana hidangan itu amat sinonim dengan Bumi Kenyalang yang menjadi kegemaran ramai tanpa mengira lapisan masyarakat.

Keenakannya yang memukau hati para pelancong datang berkunjung ke Sarawak sama ada dari dalam atau luar negara pasti akan menjadikan kek lapis sebagai oleh-oleh untuk diberikan kepada keluarga dan sahabat-handai.

Namun, bagi mereka yang inginkan kelainan, bolehlah mencuba kuih bulan berintikan kek lapis Sarawak yang diusahakan oleh Maria Ngui Sai Moi bersempena dengan Pesta Kuih Bulan yang bakal disambut masyarakat Cina menjelang awal September ini.

Pesta Kuih Bulan atau Festival Pertengahan Musim Luruh merupakan perayaan kedua terbesar yang disambut kaum Cina biasanya pada bulan September atau Oktober mengikut kalendar lunar Cina dan kuih bulan adalah juadah wajib dan simbolik kepada sambutan yang dilihat sebagai hari penyatuan seluruh keluarga itu.

Pembantu kedai Kek Lapis Sarawak, Zubaidah Jawa menunjukkan kek lapis ‘Mooncake’ atau kek lapis Bulan di kedainya. -fotoBERNAMA

Maria, 43, yang berdarah kacukan Cina dan Bidayuh itu berkata bagi mengekalkan identiti Sarawak dalam makanan tradisi itu, maka tercetuslah idea untuk menghasilkan kelainan pada kuih bulan yang lazimnya berintikan kacang merah, adunan biji teratai dan kuning telur masin.

Ternyata, percaturan yang dibuat pada Pesta Kuih Bulan tahun lepas membuahkan hasil apabila ramai yang menyukai inovasi kek lapis ‘Mooncake’ atau kek lapis bulan hasil air tangannya sehingga mendapat sambutan menggalakkan.

“Sebenarnya sudah lama saya terfikir untuk menghasilkan kek lapis bulan ini, akhirnya pada festival tahun lepas, saya memberanikan diri untuk mencubanya buat pertama kali. Siapa sangka sambutan sangat memberangsangkan.

“Mereka yang tinggal di Sibu, Bintulu, Sarikei, Miri dan Sabah juga turut tidak ketinggalan untuk menempahnya,” katanya yang mempunyai kedai di Jalan Main Bazaar di sini yang turut memiliki sijil halal diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya dengan sijil halal itu, masyarakat Islam dan mualaf di sini tidak lagi ragu-ragu untuk menikmati kuih bulan unik itu yang turut mendapat sambutan dalam kalangan orang Islam di seluruh negara.

Maria berkata beliau menawarkan dua jenis kuih bulan berintikan kek lapis iaitu ‘Snow Skin’ yang kulitnya diperbuat daripada tepung beras pulut yang dimasak tanpa perlu dibakar dan boleh terus dimakan, serta ‘Baked Skin’ yang perlu dibakar sehingga kuning keemasan.

“Untuk Snow Skin, sebanyak 10 perisa ditawarkan, yang paling mendapat sambutan ialah perisa Blueberry Cheese, Tiramisu dan Cappucino manakala untuk Baked Skin ada 12 perisa seperti Chocolate Rainbow dan Almond Oreo,” katanya.

Maria yang meminati bidang pembuatan kek sejak dibangku sekolah dan sering membantu mak ciknya menyiapkan tempahan kek berkata beliau boleh menghasilkan kira-kira 5,000 biji kuih bulan yang berwarna-warni dan pelbagai corak sehari sambil dibantu seorang pekerja.

“Semakin dekat dengan musim perayaan, lagi tidak menang tangan dibuatnya, jadi bermula awal Ogos saya perlu memenuhi tempahan pelanggan. Selain menempah secara dalam talian, pelanggan yang datang sendiri ke kedai juga tidak kurang ramainya, malah hotel dan pengusaha kedai juga turut menempah kuih bulan saya,” kata pemilik akaun Facebook ‘Maria kek lapis’ itu.

Ditanya rahsia keenakan kek lapis bulannya, Maria yang mula menjual kek lapis sejak 2001 berkata beliau menggunakan bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi seperti mentega yang diimport kerana ia akan menghasilkan aroma dan rasa lebih sedap selain tekstur kek yang lembut dan lembap.

Harga sebiji kek lapis bulan ialah RM14 untuk jenis Snow Skin manakala Baked Skin dijual pada harga RM15. Jika dibeli dalam kuantiti banyak, ia akan dibungkus di dalam kotak khas yang sesuai dijadikan hadiah atau buah tangan ketika mengunjungi rumah rakan-rakan pada perayaan itu nanti. -BERNAMA


Pengarang :