Remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
BERITA UTAMA

Kematian Nora Anne akibat kebocoran usus

SEREMBAN, 15 OGOS: Remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang ditemui mati pada 13 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia ekoran kebocoran pada usus mungkin kerana ketiadaan makanan dalam tempoh yang lama dan stres berpanjangan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, hasil bedah siasat mendapati Nora Anne, meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai.

“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati remaja itu mati ekoran kebocoran usus mungkin akibat stres berpanjangan dan tiada makanan dalam tempoh yang panjang,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Sementara itu, menurut laporan BH Online, Mohamad berkata, terdapat kesan calar kecil pada kaki Nora Anne, tetapi ia tidak menjurus kepada kematiannya.

“Mangsa dipercayai mati dua sehingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan tidak lebih daripada empat hari. Hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan dirogol. Tiada juga elemen dilarikan atau diculik,” katanya.

Katanya, beberapa sampel daripada tubuh Nora Anne diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Mengulas berhubung pejabat pendakwa raya Perancis yang membuka siasatan jenayah terhadap kes Nora Anne, beliau memaklumkan tidak mengetahui perkara itu.

Pada masa sama, Mohamad berkata, keluarga dibenarkan mengambil mayat Nora Anne yang kini masih berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, pada bila-bila masa.

Namun, katanya, setakat ini keluarga mangsa masih belum membuat sebarang persiapan.

Mayat Nora Anne, 15, ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu dekat sini.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne bermula 11.45 pagi semalam dan berlarutan sehingga malam tadi, diketuai pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dibantu pakar dari Jabatan Kimia, dan Jabatan Forensik Petaling Jaya.


Pengarang :