AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan kaji alat mainan mampu asah minda kanak-kanak

KLUANG, 25 OGOS: Kementerian Pendidikan akan mengkaji penggunaan alat permainan yang mampu mengasah minda kanak-kanak di peringkat awal pendidikan bagi melahirkan generasi yang kreatif dan berinovasi.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kajian itu susulan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan kanak-kanak seawal lima tahun perlu didedahkan dengan kemahiran, inovasi serta kreativiti.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, pihaknya masih merangka dasar berkaitan dengan pendidikan pra-sekolah, dan jika idea terbabit sesuai untuk diterima, maka ia akan dilaksanakan.

“Buat masa ini, saya masih belum mahu memberikan komen lanjut berkenaan pelaksanaannya di peringkat pusat (kerajaan puasat) kerana ia masih di peringkat kajian.

“Namun di peringkat (kawasan Parlimen) Simpang Renggam, saya akan laksanakannya dalam masa terdekat ini, dengan kerjasama beberapa pihak swasta dan kita akan lihat keberkesanannya di sini (Simpang Renggam),” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, penggunaan alat permainan seumpama ini terbukti keberkesanannya kerana beliau sudah melihat sendiri pelaksanaannya di China.

Terdahulu, Dr Maszlee ditemui pada perasmian program Sesi Interaksi Ahli Parlimen Simpang Renggam dengan Pihak Industri dan Institusi Pendidikan di Kawasan Simpang Renggam, Kluang, Batu Pahat dan Layang-Layang di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Wahid Razzaly dan Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang, Tan Sri Datuk Tan Seng Leong.

Dalam pada itu, berkaitan dengan interaksi yang dilaksanakan, Dr Maszlee berkata, ia lebih kepada menyentuh kerjasama masyarakat, pihak industri dan institusi pendidikan bagi membangun kawasan sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang, Kluang serta Batu Pahat.

Katanya, kerjasama ketiga-tiga pihak itu diyakini dapat memberi banyak manfaat terutama berkaitan pendidikan berasaskan teknikal dan latihan vokasional.

“Program ini juga akan membabitkan aktiviti khidmat komuniti sosial dalam kalangan industri serta institusi pendidikan yang ada.

“Program akan bermula esok dan ia akan berterusan dari semasa ke semasa, selagi saya diberi kepercayaan di sini (Simpang Renggam),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :