AGENDANASIONAL

Kementerian siasat dakwaan AP dijual secara dalam talian

SERI ISKANDAR, 18 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menyiasat dakwaan Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barangan makanan yang dikeluarkan kerajaan dikesan diiklankan untuk jualan secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya AP yang dikeluarkan kepada penerima kemudahan itu dalam usaha memenuhi keperluan rakyat disalahguna dengan menjualnya menerusi laman web dan media sosial.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia tidak disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di Seri Iskandar, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara berkata, pihaknya juga mempunyai kuasa untuk menarik semula kemudahan itu kepada penerima yang dikenal pasti menyalahgunakan AP berkaitan pertanian tanpa kompromi.

Salahuddin berkata, selain barangan pertanian, pihaknya turut mengesan penjualan AP secara dalam talian membabitkan barangan lain seperti gula dan tepung.

“Kita tidak akan berkompromi dengan penyelewengan dan perlu menjalankan siasatan bukan sahaja di peringkat kementerian ini tetapi kementerian lain kerana saya lihat terdapat penjualan AP bagi gula, tepung dan lain-lain,” katanya.

Akhbar tempatan melaporkan banyak pihak dipercayai mendakwa mempunyai AP seperti tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat, yang mengiklankan untuk menjualnya menerusi sebuah web yang menjadi saluran iklan perkhidmatan dan barangan.

– BERNAMA


Pengarang :