AGENDANASIONAL

Kementerian Wilayah sedia garis panduan berkaitan pengurusan dewan orang ramai

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan garis panduan berkaitan pengurusan dewan kepada pihak komuniti yang dilantik bagi menyelia dewan orang ramai, di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata langkah itu dibuat supaya dewan orang ramai itu tidak disalahgunakan selain memastikan ia diselenggara dengan baik.

“Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil alih sementara pengurusan dewan orang ramai di bandaraya ini, kita akan serahkan semula dewan itu kepada pihak komuniti berkenaan.

“Kita akan meminta komuniti atau penduduk ini melantik pihak dari kalangan mereka yang boleh dipercayai dalam menguruskan dewan ini sebab dewan ini berada di kawasan mereka dan mereka akan menggunakan pakai garis panduan (untuk menguruskan dewan) yang kita akan sediakan nanti,“ katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis minum petang sempena meraikan sambutan 50 tahun Pusat Pengajian Perancang Bandar dan Wilayah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub.

Dalam pada itu, Khalid turut mengingatkan komuniti berkenaan supaya mengambil tanggungjawab menjaga dan menyelia dewan orang ramai tersebut sebaik mungkin.

Khalid dalam kenyataan sebelum ini berkata, DBKL telah mengambil alih sementara 202 dewan orang ramai di bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan itu dilakukan selepas DBKL mendapati, banyak dewan yang disalahgunakan bagi tujuan tertentu termasuk meraih keuntungan peribadi, tujuan politik selain wujud kelemahan pengurusan dan kerosakan kemudahan akibat gagal diselenggara dengan baik.

-BERNAMA


Pengarang :