Ir Izham Hashim turut serta melakukan demo pemadaman kebakaran ketika kempen “Door to Door” Keselamatan Kebakaran Di Rumah Kediaman Electrical Safety Roadshow 2019 “Plug Into Safety” BBP Pandan Indah. Foto FIKRI YUSOF – Selangorkini
EXCOSELANGOR

Kempen ‘Door-to-Door’ dedah masyarakat keselamatan kebakaran

AMPANG, 4 OGOS: Kempen ‘Door-to-Door’ dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pandan Indah dilihat sebagai salah satu mekanisme terbaik dalam memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung keselamatan kebakaran di kediaman masing-masing.

Malah, menerusi program dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah itu juga memberi pendidikan kepada umum dalam membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya mencegah kebakaran.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kempen fasa pertama itu dijalankan berikutan insiden kebakaran yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, pendedahan awal kepada masyarakat membolehkan tindakan proaktif diambil untuk melindungi nyawa dan harta benda daripada risiko berlaku perkara tidak diingini.

“Kita memikirkan betapa penting aspek keselamatan bagi penduduk di kawasan perumahan, khususnya yang bercorak kampung selain banyak kes kebakaran berlaku di sini.

“Dua kali kebakaran berlaku sebelum ini, menyebabkan penduduk kehilangan harta benda, malahan kebimbangan kita adalah ia membawa kesan kepada nyawa jika kempen ini tidak dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen ‘Door-to-Door’ Keselamatan Kebakaran di Rumah Kediaman Electrical Safety Roadshow 2019 ‘Plug Into Safety’, di Indian Settlement, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain dan Ketua Balai, BBP Pandan Indan, Mohd Faizal Md Zain.

Dalam majlis itu, Ir Izham yang juga Ahli Dewan Negeri Pandan Indah turut melakukan demonstrasi memadam kebakaran dan pemadaman api dapur di hadapan kira-kira 50 penduduk dari sekitar kejiranan terbabit.

Terdahulu, kempen fasa pertama itu berjalan selama dua minggu bermula hari ini sehingga 18 Ogos meliputi kawasan Indian Settlement Pandan Jaya, manalala fasa kedua dari 25 Ogos hingga 8 September di Kampung Pandan Dalam.

Pada masa sama, katanya, sepanjang kempen berkenaan, pihak bomba akan mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah dan memberi penerangan kepada penghuni berhubung langkah perlu diambil apabila berdepan situasi cemas seperti kebakaran.

“Kita menyediakan kemudahan alat pemadam kebakaran untuk tujuan kecemasan di setiap rumah dan diharapkan penghuni menjaganya dengan baik kerana dibimbangi tidak berfungsi apabila memerlukan peralatan ini.

“Saya juga akan sentiasa bekerjasama dengan pihak bomba dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan MPAJ untuk memastikan tempat ini dijaga dengan baik,” katanya.


Pengarang :