Salahuddin (tengah) melihat sawi yang ditanam secara Hidroponik pada program Perhimpunan Warga Tani sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kepimpinan baharu Pertuduhan Peladang perlu lebih berintegriti

REMBAU, 6 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang di setiap peringkat yang bakal dilantik kelak, memegang prinsip integriti tinggi supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sehubungan itu, mereka yang dilantik akan diberi masa selama enam bulan sebelum dibuat penilaian bagi melihat prestasi masing-masing.

“Saya tekankan aspek integriti, sesiapa dipilih dalam mesyuarat agung dan sesiapa yang dilantik atas kuasa menteri mesti pelihara integriti kerana ini membabitkan duit rakyat termasuk isu bantu peladang.

“Saya minta yang dilantik ini benar-benar bertanggungjawab, enam bulan selepas dilantik saya akan buat penilaian terhadap mereka, jadi siapa pun yang duduk di situ mesti berperanan majukan peladang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Warga Tani Daerah Rembau Sempena Memperingati Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan perlu mampu mewujudkan perniagaan atau aktiviti menguntungkan supaya boleh berdiri sendiri, sekali gus tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

Salahuddin berkata, sektor pertanian ternyata menjanjikan pendapatan lumayan bukan sekadar bagi mereka yang ingin menjadikan ia sebagai profesion baharu tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Saya sudah teliti sama ada sektor perikanan, perladangan, buah-buahan, padi dan sektor sayuran sekalipun sebenarnya kita punya potensi.

“Saya juga melihat satu petanda yang baik atau fenomena dalam lawatan saya ke seluruh negara di mana pertanian sudah mula jadi pilihan anak muda yang ingin bekerjaya.

“Mereka juga yakin semua sektor dalam pertanian menjanjikan pendapatan lumayan jika mereka benar-benar fokus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :