Mayat Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang ketika bercuti di sebuah resort di Pantai di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk proses bedah siasat pada 14 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan bedah siasat Nora Anne dijangka hari ini

SEREMBAN, 15 OGOS: Perhatian kini tertumpu kepada Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar di sini bagi mengetahui hasil bedah siasat ke atas mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati pada Selasa ketika bercuti di sini.

Hari ini, pengamal media tempatan dan antarabangsa mula memenuhi perkarangan lokasi itu seawal 7 pagi untuk mengetahui punca kematian gadis berusia 15 tahun berkenaan susulan bedah siasat yang dijalankan mulai semalam.

Dua sidang media diadakan semalam, namun ia hanya memaklumkan proses itu masih berlangsung — berita yang menghampakan bukan sahaja buat petugas media malah orang ramai di dalam dan luar negara yang mengikuti perkembangan kes itu.

Satu sidang media dijangka diadakan hari ini namun masanya masih belum diketahui.

Mayat Nora Anne ditemui pada Selasa di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu bersama keluarganya di Pantai di sini.

Mayat remaja anak istimewa itu ditemui pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan selepas dilaporkan hilang dari resort berkenaan pada 4 Ogos lalu.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba di Malaysia bersama keluarga pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :