AGENDAJENAYAH

Keputusan bicara bersama kes rasuah Tan Eng Boon, Tengku Adnan 9 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya kes rasuah RM1 juta yang dihadapi ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon dibicarakan bersama kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan diketahui pada 9 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan peguam, Faisal Moideen yang mewakili Tan hari ini.

“Keputusan akan diberikan pada Jumaat depan pukul 9 pagi,” kata hakim itu.

Terdahulu, Julia berhujah bahawa kes rasuah itu perlu dibicarakan bersama Tengku Adnan kerana pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh adalah berasal daripada kejadian, butiran transaksi, tarikh dan masa yang sama.

“Yang Arif, dalam kes ini, pemberi adalah Tan dan Tengku Adnan adalah penerima mengikut butiran dokumen yang sedia ada. Sepatutnya mereka (Tan dan Tengku Adnan) dituduh bersama tetapi ada kesilapan dalam e-filing ketika itu. Pendakwaan sejak awal lagi berhasrat untuk kes itu dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam Faisal membantah permohonan pendakwaan dengan alasan anak guamnya dan Tengku Adnan dituduh secara berasingan dan sekiranya mereka dibicarakan bersama ia akan memprejudiskan anak guamnya.

“Tengku Adnan tidak boleh jadi saksi dalam kes ini jika dibicarakan bersama,” katanya dan memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 69, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan, 70, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013. – BERNAMA


Pengarang :