AGENDANASIONAL

Kerajaan anggar 45,000 unit rumah pembangunan semula Kampung Baru – Khalid

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kerajaan dianggarkan dapat menyediakan 45,000 unit rumah selepas projek pembangunan semula dilaksanakan di Kampung Baru di sini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Anggaran kerajaan selepas pembangunan semula dijalankan sejumlah 45,000 unit rumah kediaman dapat disediakan berbanding hanya sekitar 3,000 hingga 3,500 buah rumah yang ada pada masa ini.

“Antara matlamat wujudnya Kampung Baru dulu untuk tambah orang Melayu di bandaraya…kita kena bangunkan juga kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas program Pra Pelancaran Sesi Town Hall Menteri Wilayah bersama pemilik tanah kawasan Malay Agriculture Settlement (MAS) Kampung Baru di sini, hari ini.

Katanya, pemilikan rumah tersebut hanya terbuka kepada kaum Melayu dan dijangka disiapkan secara berperingkat mengikut fasa projek pembangunan semula kampung bersejarah tersebut.

Sementara itu, Khalid berkata pada sesi town hall yang dijadualkan pada 21 September depan pemilik atau waris tanah kawasan tersebut akan diberi peluang bertanya soalan dan mengemukakan cadangan.

“Kita akan buat pembentangan pada hari tersebut… ada kawasan dikekalkan rumah tradisional, ada pembahagian kawasan misalnya zon kebudayaan, kawasan hijau dan perniagaan…kita nak jadikan ia kawasan hartanah Melayu Bumiputera yang paling bernilai dan ‘hot’ jadi rebutan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :