AGENDANASIONAL

Kerajaan hasrat kembalikan peranan KBTC latih guru di Asia Tenggara

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Kerajaan berhasrat mengembalikan semula peranan Kota Bharu Teacher’s College (KBTC), yang kini dikenali sebagai Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, sebagai tempat yang akan melatih guru-guru bukan sahaja dari Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, IPG Kota Bharu merupakan antara salah sebuah institusi latihan guru yang tertua di Malaysia dan di awal penubuhanya turut melatih guru-guru dari Brunei dan Singapura.

“Kini, di bawah pentadbiran kerajaan yang baharu, KBTC akan dikembalikan peranannya iaitu untuk melatih guru-guru bukan sahaja dari Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara.

“Saya amat berharap kegemilangan KBTC akan bertambah menyerlah selepas ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Perjumpaan Ex-KBTC di sini semalam. Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ditanya bila KBTC akan mula melatih guru-guru dari rantau Asia Tenggara, Dr Mahathir berkata: “Secepat mungkin.”

Menurut Dr Mahathir, KBTC merupakan kolej latihan guru yang berasal dari England di mana di awal penubuhannya iaitu pada tahun 1952, sebahagian besar pensyarah malah pengetuanya merupakan mereka yang diambil dari England.

Menurutnya lagi, KBTC berkait terus dengan Pusat Latihan Guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.

Menyentuh peranan guru-guru dalam pembangunan sesebuah negara, Dr Mahathir berkata, Malaysia berjaya membangun dengan pesat dan teratur setelah mencapai kemerdekaan yang sebahagian besarnya adalah hasil dari sumbangan guru-guru.

Selepas ibu dan bapa, guru-guru adalah barisan paling hadapan dalam membentuk masyarakat yang kemudian akan membimbing negara, katanya.

“Ini memperlihatkan betapa tanggungjawab dan peranan guru-guru itu amat dinamik dan memerlukan mereka bersifat serba boleh, dan boleh menyesuaikan diri di dalam apa jua keadaan.

“Memadai jika saya katakan jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa itu terletak di tangan guru-guru,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan Dana Jasamu Dikenang yang bertujuan membantu ahli-ahli KBTC yang mengalami masalah kesihatan.

“Menyokong dan menderma kepada dana ini adalah salah satu cara untuk kita menyatakan penghargaan kita kepada pengorbanan mereka,” kata Dr Mahathir. – BERNAMA


Pengarang :