AGENDANASIONAL

Kerajaan kaji keperluan tambah pelindung kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji keperluan untuk menambah bilangan pelindung kanak-kanak bertujuan melindungi kira-kira 9.4 juta kanak-kanak di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata sehingga kini, hanya terdapat 208 pelindung kanak-kanak dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menangani pelbagai kes seperti penderaan, pengabaian dan masalah berkaitan pemeliharaan kanak-kanak.

“Buat masa ini seorang pelindung kanak-kanak mengambil sebanyak 80 kes kanak-kanak. Nisbah pelindung dan kanak-kanak yang sebenar pula ialah sebanyak 1:45,142 orang dan ia tidak mencukupi.

“Kita sedang mengkaji keperluan untuk menambah kepada lebih 1,000 orang yang berkelayakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sentul 2019 di sini, hari ini.

Menurut Yeoh, pelindung kanak-kanak memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu golongan tersebut mendapat perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita tidak boleh abaikan mereka. Kalau kita tidak cukup kakitangan dan bajet untuk jaga populasi ini, kos yang kita akan belanjakan seperti intervensi, penjara itu akan lebih mahal pada masa hadapan,” katanya.

Yeoh turut mendedahkan bahawa terdapat pelbagai jenayah dilakukan terhadap kanak-kanak dengan pengabaian mencatat jumlah tertinggi sebanyak 13,486 manakala penderaan fizikal dan seksual masing-masing berjumlah 10,046 dan 8,112 pada 2011 hingga 2018.

Sementara itu, Yeoh dalam ucapannya memuji usaha yang yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Dignity for Children Foundation yang menganjurkan festival itu buat julung kalinya bermatlamat memberi inspirasi serta mengubah kehidupan golongan miskin bandar melalui pendidikan.

Festival yang berlangsung sejak 10 Ogos dan berakhir esok itu dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan ceramah pendidikan yang menyentuh pelbagai topik seperti gangguan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak dan meditasi kesedaran.

-BERNAMA


Pengarang :