Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan sumbangan makanan kepada mangsa ribut di Pusat Pemindahan Desa Kasih, Sabak Bernam.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri hulur bantuan mangsa ribut Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 10 OGOS: Nasib mangsa ribut yang membabitkan 508 buah rumah di beberapa kawasan dekat Sabak Bernam di sini mendapat perhatian segera Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah mengeluarkan bantuan kewangan segera berjumlah RM500 bagi sebuah rumah.

Manakala, katanya, bantuan baik pulih rumah juga akan diberikan selepas laporan penilaian kerosakan rumah dibentang pada Khamis depan.

“Dalam pengalaman menyalurkan bantuan kerosakan rumah akibat ribut ini, kebiasannya paling cepat seminggu.

“Laporan ini akan diserahkan kepada saya Khamis depan untuk diluluskan bantuan dan sokongan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan Desa Kasih, di sini.

Amirudin berkata, bantuan baik pulih rumah itu nanti akan diberikan mengikut kerosakkan iaitu kecil, sederhana dan kritikal.

Beliau percaya kejadian ribut di kawasan itu mempunyai kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan ekoran kawasan itu berdekatan dengan laut.

Pada masa sama, Amirudin menolak tuduhan tidak berasas UMNO Selangor yang mendakwa Kerajaan Negeri lambat menghulurkan bantuan.

Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Negeri sudah mengaktifkan Jawatankuasa Bencana Daerah malam tadi bagi membantu mangsa ribut.

“Mereka boleh kata apa pun tetapi kita mempunyai pengalama, kita bergerak sejak malam tadi.

“Sebelum ini, masa mereka jadi kerajaan, mereka juga tidak memberi bantuan ketika itu,” katanya.

Terdahulu, hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 1.15 pagi tadi itu mengakibatkan beberapa kediaman penduduk dan premis perniagaan terjejas antaranya di Sungai Air Tawar, Parit Baru, Sungai Lang, Teluk Rhu, Bagan Nakhoda Omar, Tebuk Pulai, Sungai Besar dan Sekinchan.

Lebih 80 buah rumah rosak teruk akibat ribut berkenaan.


Pengarang :