Pemangku Presiden KRS, Mohd Hafiz Mohd Zaki. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kerajaan Negeri pertimbang cadangan KRS

SHAH ALAM, 17 OGOS: Impian Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) untuk melihat pasukan ragbi Selangor mempunyai ‘home grown’ sendiri bakal jadi kenyataan apabila cadangan persatuan terbabit mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pada masa ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa tempat yang sesuai bagi tujuan terbabit.

“Kita ada menerima kertas cadangan daripada KRS dan ada beberapa tempat yang kita dah kenal pasti, Insya Allah kita akan berusaha dan pastikan KRS dapat pembelaan sebaiknya dalam mewujudkan ‘rumahnya’.

“Kerajaan mendengar keluhan KRS, kita sedang berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pengurusan Fasiliti Darul Ehsan dengan bantuan Majlis Sukan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga KRS di Padang Ragbi Politeknik Shah Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden KRS, Mohd Hafiz Mohd Zaki menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan sukan ragbi di Selangor.

Katanya, KRS sudah lama menyimpan impian untuk melihat pasukan ragbi Selangor memiliki ‘rumah’ sendiri seperti mana pasukan bola sepak Selangor menjadikan tuan rumah di Stadium Shah Alam.

“Alhamdullilah dengan kerjasama baik ditunjukkan EXCO kita, saya yakin perkara ini dapat direalisasikan suatu hari nanti dan membantu membangunkan sukan ragbi di Selangor,” katanya.


Pengarang :