EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri salur RM192,300 Subsidi Tambang Bas Sekolah

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 641 pelajar daripada 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negeri ini dipilih menerima bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah melibatkan peruntukkan berjumlah RM192, 300.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, bantuan itu akan mula diagihkan secara berperingkat mulai esok (27 Ogos) sehingga Khamis ini.

“Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sentiasa peka dengan kebajikan rakyatnya tidak kira apa pun bangsa dan agama supaya masing-masing sentiasa terbela.

“Malah, terima kasih juga kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kerana sentiasa prihatin dengan komuniti India di Selangor khususnya.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa pelajar menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) Fasa 5 dan Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS Fasa 6 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

Terdahulu, antara sekolah terlibat menerima peruntukan itu adalah SJKT Sungai Manggis dengan jumlah penerima seramai 96 orang; SJKT Simpang Morib (61); SJKT Sungai Renggam (91) dan SJKT Ladang North Hummock (47).

Selain itu, sekolah lain adalah SJKT Ladang Vallambrosa (81); SJKT Semenyih (41); SJKT Ladang Coalfields (50); SJKT Ladang Sungai Rambai (47); SJKT Ladang Sungai Bernam (35) dan SJKT Sabak Bernam (92).


Pengarang :