AGENDANASIONAL

Kerajaan sedia jumpa persatuan peguam Muslim bincang isu harta

PARIT BUNTAR, 25 OGOS: Kerajaan sedia bertemu dengan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berhubung cadangan supaya enakmen pentadbiran dan pembahagian harta pusaka negeri dipinda serta diletakkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, hal itu kerana cadangan terbabit bertepatan dengan keperluan kepada orang Islam.

“Kita tahu isu pembahagian harta pusaka atau faraid hanya diamalkan orang Islam dan ia antara tuntutan agama, tetapi apabila kita hendak menuntut, ia bukan difailkan di Mahkamah Syariah tetapi di Mahkamah Sivil dan ini menimbulkan keresahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kayuhan Rahmah Merdeka dan pelancaran Kelab Berbasikal Derah Kerian di Dewan Terbuka Bagan Tiang, di sini hari ini yang disertai 200 peserta dengan jarak 30 kilometer dari Parit Buntar ke Bagan Tiang.

Pada 23 Ogos lalu, PPMM mencadangkan setiap negeri meminda enakmen pentadbiran kes berkaitan pentadbiran dan pembahagian harga pusaka bagi orang Islam supaya diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja.

Buat masa ini, semua Mahkamah Syariah kecuali Sabah hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pembahagian harga pusaka kepada waris, manakala Mahkamah Sivil menyelesaikan isu berkaitan pentadbiran harga pusaka bagi orang Islam.

Sementara itu, Mujahid menjangkakan program Rahmatal Lil Alamin akan mencapai kejayaan pada 2020 setelah usaha penerangan dilaksanakan sepenuhnya secara meluas di seluruh negara.

Katanya, lebih 20,000 rakyat Malaysia diberikan penerangan berhubung dasar itu melalui Program Rahmah, siri pembentangan Maqasid Syariah, Duta Rahmah dan Jelajah kampus.

“Sehingga kini, kita tidak terganggu dengan ancaman oleh golongan yang sentiasa menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dengan konsep Rahmatan lil Alamin,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :