AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan sedia kaji laporan PBB berkait kadar kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 24 OGOS: Kerajaan akan mengkaji laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti dilaporkan pada 2016.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi membuat semakan semula kaedah tahap kemiskinan rakyat.

“Kita akan kaji laporan itu, kalau perlu kaedah mengukur kemiskinan, ia akan dinilai semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sambutan Ulang Tahun ke empat dan majlis makan malam mengumpul dana MyPerintis: Permulaan ‘New Dawn’, di Hotel One World, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) memakaikan topi keledar kepada kanak-kanak ketika pelancaran Program Adiwira Topi Keledar pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-4 My Perintis di ibu kota. Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua, kiri) dan Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim (dua, kanan) pada 23 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, laporan PBB mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada apa yang digambarkan oleh kerajaan.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut berkata, Malaysia berpegang pada kaedah semasa mengira garis kemiskinan, walaupun PBB tidak melaporkan kejadian seperti itu.


Pengarang :