Amirudin Shari (kanan) bersama Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya (kiri) pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Selangor tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai barisan penjawat awam Kerajaan Negeri melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen membenteras gejala itu.

Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR Bersama Dato’ Menteri Besar itu berlangsung di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor.

Amirudin menandatangani IBR sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Turut menandatangani IBR, EXCO Kerajaan Negeri yang dimulakan dengan Dato’ Teng Chang Khim, Ir Izham Hashim, Datuk Abdul Rashid Asari, Ng Sze Han, Hee Loy Sian dan Dr Siti Mariah Mahmud.

IBR adalah satu janji dan komitmen yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya atas kapsiti individu untuk sesekali tidak terbabit dalam kesalahan rasuah atau salah guna kuasa.

Inisiatif SPRM itu juga bagi mewujudkan kefahaman dalam meningkatkan komitmen menolak rasuah secara total, terutama dalam kalangan pemimpin politik dan penjawat awam.

Sementara itu, Latheefa dalam ucapnnya berkata, jumlah kes rasuah membabitkan penjawat awam juga membimbangkan apabila 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan SPRM dari 2014 sehingga Jun 2019.

Katanya, kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

“Lebih merisaukan apabila 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda berusia bawah 40 tahun.

“Melalui satu kajian dilaksanakan SPRM juga mendapati 22.1 peratus daripada responden penjawat awam berkata mereka sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan.

“Ini sesuatu yang mesti diperbetulkan supaya kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan,” katanya.


Pengarang :