Foto FIKRI YUSOF/SelangorKini
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sokong usaha EXCO negeri kekang pencemaran sungai

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan sentiasa menyokong semua inisiatif Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di seluruh negara dalam mengekang masalah pencemaran sungai yang mencetuskan kegusaran ramai.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya juga sudah menurunkan kuasa penuh kepada semua EXCO terbabit untuk menggiatkan pelaksanaan operasi bersepadu selepas ini.

“Semalam, saya bersama EXCO negeri mengadakan mesyuarat untuk kertas pembentangan dan kita (kerajaan) berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) tentang apa perlu mereka buat bagi menjaga sungai termasuk kilang-kilang haram yang mencemari sungai.

“Kalau kerajaan membuat operasi tidak cukup…mereka (EXCO) boleh memimpin operasi bersepadu berkenaan kerana kita tidak boleh pergi ke semua sungai serta kilang, tetapi kita turunkan kuasa kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita adakah insiden pencemaran sungai yang kerap berlaku kebelakangan ini mula memperlihatkan kempen sayangi sungai kita gagal.

Ahli Parlimen Bakri itu bagaimanapun enggan melatah, sebaliknya yakin dengan kemampuan kerajaan melalui jalinan kerjasama EXCO negeri dalam usaha mengatasi masalah terbabit demi menjamin kesejahteraan masyarakat.

“Justeru, mereka (EXCO) boleh mengambil cabaran ini dengan baik dan saya ingin lihat Kerajaan Negeri mengambil tindakan sendiri dengan lebih banyak lagi,” katanya.


Pengarang :