AGENDANASIONAL

Kerajaan tunggu cadangan Lynas

PUTRAJAYA, 1 OGOS : Kerajaan masih menunggu cadangan Lynas Corp dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir buminya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami memberikan syarat ini kepada Lynas supaya mereka mempunyai perancangan dalam mengendalikan sisa berkenaan. Kami sedang menunggu mereka untuk memaklumkan kepada kami bagaimana mereka akan melakukannya.

“Sama ada mereka akan mencari tempat yang mereka boleh lupuskan sisa itu ataupun tidak,” kata perdana menteri pada sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat mengenai tenaga kerja dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan berita yang mendakwa kerajaan mungkin akan menggugurkan syarat bagi Lynas Corp memindahkan sisa pemprosesan nadir buminya keluar dari Malaysia.

Akhir tahun lepas, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk perbaharui lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar keluar sisa bahan radioaktif dari negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan “Water Leached Purification’’ (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan bukan radioaktif tidak berjadual ‘’Neutralization Underflow Residue (NUF)’’, LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pembuangan sisa terkumpul itu sebelum dipertimbangkan bagi kelulusan di bawah Peraturan-Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata negara membangun seperti negara anggota ASEAN sepatutnya mengambil bahagian dalam mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai sebuah kumpulan dan bukan sebagai negara individu untuk membolehkan suara mereka didengari secara signifikan.

Beliau berkata bagi perkara yang membabitkan WTO, negara-negara membangun bimbang suara mereka tidak cukup kuat.

“Sebagai contoh, apabila kita menghadiri persidangan mesyuarat WTO, negara-negara kaya datang dengan sekumpulan pasukan pakar, seperti 200 dari mereka, dan mereka juga mempunyai jawatankuasa kecil.

“Pihak kita tidak boleh menganggotai jawatankuasa kecil kerana kita menghantar terlalu sedikit orang, jadi itu merugikan negara-negara membangun.

“Oleh sebab itu, kita perlu berkumpul bersama, contohnya, ASEAN perlu mengambil bahagian dalam WTO sebagai kumpulan ASEAN dan bukan negara individu,” katanya.

Dr Mahathir turut diminta mengulas memorandum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini bahawa WTO membenarkan terlalu banyak negara untuk menuntut status ekonomi membangun dan layanan istimewa yang telah merosakkan sistem perdagangan global.

Menurut laporan media, dalam memorandum kepada perwakilan perdagangan AS Robert Lighthizer, Trump menulis bahawa WTO adalah berdasarkan “pembahagian lapuk” antara negara membangun dan negara maju yang perlu segera ditangani, dan berada dalam “keperluan mendesak bagi pembaharuan”. -BERNAMA


Pengarang :