AGENDAEKONOMI

Kereta nasional kekal pemacu utama segmen automatif

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Jumlah jualan kereta nasional akan terus menjadi pemacu utama dalam ruang automotif tempatan, kata AmInvestment Bank hari ini.

Menerusi pelancaran Saga baru-baru ini, bank pelaburan itu percaya Proton akan dapat mengekalkan momentum jumlah jualannya bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Kami juga menantikan CKD X70 pada November ini dengan pengurusan DRB-Hicom membayangkan bahawa harga SUV yang popular itu akan dikurangkan,” kata AmInvestment Bank dalam kenyataannya hari ini.

Menurut laporan media baru-baru ini, Proton mencatatkan jumlah jualan sebanyak 860,000 unit pada Julai, atau 16.5 peratus penguasaan pasaran bagi bulan itu, dan kira-kira 15 peratus berdasarkan asas tahunan setakat ini (YTD).

Proton menjual 52,200 unit sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, iaitu pertumbuhan 48 peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, pada Julai 2019, jumlah industri (TIV) meningkat 20 peratus dari bulan ke bulan namun merosot 26 peratus dari tahun ke tahun kepada 50,900 unit.

Bagi tujuh bulan pertama 2019, TIV turun 3.0 peratus kepada 347,200 unit daripada 358,100 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun kami masih belum menerima angka rasmi daripada Persatuan Automotif Malaysia ke atas jenama lain dan pecahan jumlah industri, kemungkinan besar Proton mengatasi Honda dan menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran YTD.

“Dengan momentum dan penyerahan berterusan model berorientasikan Persona dan Iriz, kami yakin Proton akan menduduki tempat kedua menjelang akhir 2019, di belakang Perodua,” kata AmInvestment Bank.

– BERNAMA


Pengarang :