AGENSISELANGOR

Kerja baikpulih paip pecah Lebuhraya Persekutuan dilanjut hingga tengah malam

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerja baikpulih paip pecah di Lebuhraya Persekutuan terpaksa dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, perkara itu berlaku disebabkan kerumitan kerja membabitkan kabel utiliti berdekatan jajaran paip pecah berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu sasaran jangka siap perlu dilanjutkan berbanding sasaran asal sebelumnya iaitu pada jam 6 petang, hari ini.

“Paip pecah yang berada pada kedalaman lima meter itu perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan risiko kemalangan dan memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pihak kami memahami kesulitan dihadapi terutama pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, segala usaha telah diambil bagi mempercepatkan kerja pembaikan.

Katanya, Air Selangor memohon maaf atas kesulitan dan pengguna boleh merujuk kepada aplikasi Air Selangor untuk maklumat serta status terkini kerja pembaikan juga jangka masa siap.

Sebelum ini, dilaporkan dua lorong paling kanan di Kilometer 6.6 Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu negara berhampiran Kompleks Kolam Air Pantai, terpaksa ditutup berikutan insiden paip pecah di laluan itu sejak kelmarin.

Insiden paip pecah berkenaan turut menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di dua kawasan Wilayah Petaling membabitkan Seksyen 11 dan 16 Petaling Jaya, Jalan Pantai Baharu serta Lingkaran Syed Putra.


Pengarang :