AGENSISELANGOR

Kerja pembaikan paip pecah Lebuhraya Persekutuan dilanjutkan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerja pembaikan paip pecah di KM 6.6, Lebuhraya Persekutuan terpaksa dilanjutkan berikutan kerosakan dan situasi sukar dihadapi di kawasan tapak berkenaan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, berikutan itu sasaran masa kerja pembaikan siap pada jam 12 malam ini tidak dapat dicapai dan proses berkaitan diteruskan.

“Seperti dimaklumkan, lokasi paip pecah berada pada kedalaman melebihi 5 meter dan kerosakan pada paip bersaiz 800 milimeter yang pecah adalah serius selain terdapat kabel utiliti merumitkan lagi kerja pembaikan.

“Ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Sehubungan itu, sasaran jangka masa kerja pembaikan siap tidak dapat ditentukan
buat masa ini dan kami akan memberikan makluman status terkini dari semasa
ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melakukan segala usaha bagi mempercepatkan proses pembaikan dan memohon maaf atas segala kesulitan terutama kepada pengguna lebuh raya.

Orang ramai diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini.


Pengarang :