AGENDAJENAYAH

Kertas siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial diserah DPP

SHAH ALAM, 19 OGOS: Polis telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan kematian seorang pemandu, Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan kini menunggu arahan daripada pihak DPP untuk tindakan lanjut.

“Selepas arahan diterima daripada DPP kita akan menjalankan tindakan selanjutnya dan keputusan terpulang kepada pendakwa raya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Datuk K Kumaran.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama di antara Polis Selangor dan syarikat teksi, PicknGo Sdn Bhd.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Pada 17 Ogos lepas, tahanan reman terhadap suspek lelaki dalam kes berkenaan disambung sehingga Khamis ini sementara suspek perempuan yang juga isteri suspek lelaki itu dibebaskan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PicknGo Sdn Bhd, Valeri Chan berkata, kerjasama ini antara inisiatif PicknGo bersama pihak polis dalam membanteras jenayah secara berterusan.

“Pembangunan aplikasi tempahan teksi ini yang pertama di negara melaksanakan penggunaan butang SOS untuk keselamatan penumpang dan pemandu di mana keupayaannya berhubung secara terus dengan Pusat Kawalan Berpusat Polis (CCC).

“Satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah pembayaran tanpa tunai di mana kami bekerjasama dengan beberapa penyedia kemudahan e-pembayaran untuk memastikan penumpang boleh membuat pembayaran melalui e-dompet mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :