AGENDANASIONAL

Kertas siasatan kes rogol EXCO ke pejabat AG

IPOH, 19 OGOS: Polis Perak menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada Jumaat lalu.

“Insya-Allah keputusan akan dimaklumkan pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, Razarudin berkata, kertas siasatan itu dipulangkan semula buat kali kedua kepada pihaknya oleh Jabatan Peguam Negara untuk siasatan lebih terperinci supaya memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak yang terbabit.

Pada 8 Julai, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

-BERNAMA


Pengarang :