AGENDANASIONAL

Kertas strategi industri aeroangkasa akan dibangun

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Industri aeroangkasa akan diberikan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, dengan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) khas akan membangunkan kertas strategi lima tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam catatan di laman twitternya hari ini berkata, TWG akan melibatkan penggiat industri, Persatuan Industri Aeroangkasa dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, kementerian itu yakin matlamat yang ditetapkan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjana hasil aeroangkasa tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini menjelang 2030 boleh dicapai.

Azmin berkata, kementerian juga mengalu-alukan pelaburan asing dalam industri aeroangkasa sebagai pemangkin untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi dan terus mengembangkan keupayaan negara dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan komponen pesawat.

Beliau turut menyifatkan majlis makan malamnya dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan syarikat terkemuka Ukraine, sebagai produktif dalam membuka potensi industri aeroangkasa negara.

“Makan malam pada malam tadi membincangkan penerokaan potensi pelaburan daripada syarikat terkemuka di Ukraine untuk membangunkan MRO dan pembuatan komponen pesawat di Kulim,” katanya.

Beliau tidak menamakan syarikat Ukraine itu.

Sebelas projek aeroangkasa dengan nilai pelaburan sebanyak RM816.3 juta dan mewujudkan 2,442 pekerjaan baharu telah diluluskan tahun lepas. – BERNAMA


Pengarang :