AGENDANASIONAL

Kes kesalahan akta syarikat dua anak Shahrizat selesai

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kes membabitkan dua anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung beberapa kesalahan akta syarikat, selesai selepas mereka membayar kompaun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pegawai Pendakwa SSM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Manira Mohd Nor bahawa kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) iaitu Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh ,35 dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh, 33, membayar kompaun terbabit.

“Pihak OKS sudah selesai membayar kompaun dan pihak kami memohon supaya saman dibatalkan,” katanya semasa sebutan semula kes itu.

Manira kemudiannya membatalkan saman yang dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS itu.

Bagaimanapun, jumlah bayaran kompaun berkenaan tidak didedahkan dan bayaran itu dibuat di pejabat SSM bulan lalu.

Kedua-dua anak Shahrizat tidak hadir ke mahkamah.

Difahamkan saman itu dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS berhubung beberapa pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk gagal membentangkan akaun untung dan rugi, gagal mengadakan mesyuarat agung taqwim dan gagal menyerah simpan penyata tahunan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2012 dan 2015.

-BERNAMA


Pengarang :