Pengurus Eksekutif Hijrah Selangor Dato Mansor menyerahkan kunci kenderaan ATV kepada peserta Hijrah Mohammad Azam Sarmin di Wisma Kohijrah Sg Rasau hari ini
AGENSISELANGOR

KoHijrah tawar pembiayaan ATV khas untuk peladang

SHAH ALAM, 8 OGOS: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) memperkenalkan skim pembiayaan terbaharu, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV)  bagi memudahkan peladang memugut hasil tanaman seperti kelapa sawit dan kelapa.

Pengurusnya, Muhammad Syukri Ismail berkata, skim ini terdiri daripada tiga pakej dengan pembiayaan bermula dari RM5,500 sehingga RM10,000.

“Tiga pakej ATV yang mampu membawa kapasiti muatan sekitar 350 kilogram pada satu masa ini adalah 125cc (RM5,500), 130cc (RM6,500) dan 200cc (RM8,500).

“Skim ini juga menawarkan jaminan perlindungan kepada enjin ATV selama setahun selain jaminan sekiranya berlaku kehilangan atau kebakaran.

“Perlindungan keselamatan sehingga RM25,000 juga diberikan kepada pengendali jika terlibat dengan kemalangan ketika melakukan aktiviti pertanian.

“Pembelian ATV ini juga tidak dikenakan sebarang deposit malah, sekiranya peminjam meninggal dunia, pembiayaan akan dihalalkan melalui tabung khairat yang dicarumkan menerusi KoHijrah serta mendapat RM1,500 wang khiarat kematian,” katanya.

Menurutnya, KoHijrah ATV ini juga disertakan dengan pembiayaan mesin cantas kelapa sawit yang dijual dibawah harga pasaran sekitar RM6,000 ke bawah.

Katanya, skim ini juga menyediakan pembiayaan menerusi Agro Bank selain turut menarik minat Koperasi Istiqamah Terengganu Berhad (KITAB) melalui pembiayaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

“Kita menyasarkan pembiayaan 150 unit ATV di Selangor dalam tempoh setahun. Setakat ini sudah ada 25 permohonan yang kita sedang semak dan jika layak kita akan lakukan majlis penyerahan seterusnya.

“Tempoh pembiayaan dibawah KoHijrah adalah tiga tahun manakala sehingga lima tahun dibawah Agro Bank,” katanya.

Majlis penyerahan ATV pertama itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman kepada pembeli pertamanya, Mohamad Azam Sarmin di Wisma KOHIJRAH, Seksyen 32, Shah Alam.

Mohamad Azam, 37, ketika ditemui berkata jentera seperti ini akan memudahkan urusannya untuk memungut buah kelapa di ladang yang diusahakan sejak setahun lalu.


Pengarang :