BERITA UTAMA

Komuniti dan teknologi perlu terhubung untuk realisasi Smart State

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Pembangunan teknologi yang dirangka perlu relevan kepada komuniti supaya ia dapat diadaptasi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, gagasan ‘Smart State’ tidak memberikan makna sebenar jika rakyat di bawah tidak terhubung dengan infrastruktur teknologi selain gagal memudahkan urusan kehidupan seharian.

Menurutnya, hubungan antara manusia dan teknologi sangat penting untuk menjayakan cita-cita negeri atau bandar pintar.

“Saya pernah melawat beberapa negara dan mereka menyatakan bandar mereka adalah ‘Smart State’. Malangnya apabila bertanya kepada rakyat tempatan di bawah, mereka sendiri tidak tahu.

“Dalam saat kita pantas mengejar teknologi, cabaran kita adalah mengadaptasi kepantasan perubahan yang berlaku.

“Sebagai contoh, dalam tempoh lebih kurang 20 tahun dahulu kita menggunakan email Hotmail sebelum beralih kepada Yahoo dan sekarang semua menggunakan Gmail.

“Jika kita membiarkan teknologi ke hadapan, rakyat tidak akan dapat merasainya. Kita perlu memikirkan bagaimana teknologi dapat diseimbangkan dan mampu menyelesaikan masalah manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 di Hotel Marriot, Putrajaya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran menjadi sebuah negeri pintar dengan penubuhan beberapa komponen penting seperti Selangor Information Technology and E-Commerce (SITEC), Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Smart Sel.

Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 anjuran Pusat Pembangunan Maklumat Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan platform perkongsian idea dalam kalangan pentadbir ICT di institut pengajian tinggi ke arah amalan kampus pintar (smart kampus) untuk mendepani cabaran revolusi industri 4.0.

Bertemakan ‘Memperkasa Kampus Pintar’, antara objektif persidangan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan kefahaman tentang urus tadbir ICT di universiri secara holistik dalam kalangan pentadbir.


Pengarang :