AGENDANASIONAL

Komuniti setempat diminta sokong kempen ‘Sayangi Sawitku’

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan berharap dapat memperluaskan kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada seluruh masyarakat du negara ini dalam usaha meraih sokongan terhadap hasil serta produk komoditi berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, persatuan di peringkat komuniti perlu memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan lebih banyak sokongan awam terhadap kempen serta produk minyak sawit negara.

“Salah satu persatuan itu terdapat di Seputeh iaitu Persatuan Penduduk Taman Desa yang aktif mempromosikan kesedaran berhubung khasiat dan kebaikan minyak sawit serta produknya.

“Ini juga adalah satu usaha pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media prapelancaran acara ‘Merdeka Fun Run 2019’ bagi kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.

Teresa berkata, beliau juga sudah menulis kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada bulan lalu supaya maklumat berhubung khasiat dan manfaat nutrisi minyak sawit dimasukkan ke dalam silibus pendidikan sekolah.

Acara sehari ‘Merdeka Fun Run’ yang akan diadakan 24 Ogos ini akan turut mengetengahkan pameran minyak sawit oleh pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :