ADNSELANGOR

Konvoi Semarak Merdeka semai semangat perpaduan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kira-kira 100 penduduk pelbagai kaum di Parlimen Kota Raja menyertai program Konvoi Semarak Merdeka bagi menyemai semangat perpaduan dan memupuk sifat saling menghormati.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, program itu sebagai simbolik menzahirkan rasa kesetiaan dan semangat patriotisme kepada negara yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-62, tidak lama lagi.

“Situasi ketika ini menuntut seluruh rakyat Malaysia menyemai tolak ansur dalam hubungan pelbagai kaum bagi membentuk masyarakat yang cintakan perpaduan dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara.

“Parlimen Kota Raja mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India serta keunikan itu wajar diraikan.

“Justeru, konvoi ini sebagai salah satu usaha untuk menyemai perpaduan supaya ia terus subur,” katanya pada pelancaran konvoi berkenaan yang bermula dari Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kota Raja, di sini.

Hadir sama, ADN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang meniupkan api kebencian antara kaum tidak harus dibiarkan.

“Kita dilahirkan di negara ini, Tiada isu orang ini perlu balik China atau India kerana kita semua dilahirkan di sini. Malah, kita bersama-sama membangunkan negara,” katanya.

Konvoi yang disertai kira-kira 30 motosikal berkuasa tinggi dari komuniti Jalan Kebun Bikers itu melalui beberapa hentian iaitu Taman Rakyat Andalas, stesen minyak Petron Andalas, Taman Rakyat dan Alam Megah.


Pengarang :