BERITA UTAMA

Korban jiwa raga majukan negeri dan negara

SHAH ALAM, 11 OGOS: Rakyat diminta terus berkorban jiwa raga dan bersama memajukan diri serta negara untuk mencapai tahap yang lebih baik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penjawat awam Selangor juga diminta bersiap sedia kerana banyak yang perlu dilakukan dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dalam gagasan #SelangorMajuBersama, tiada sesiapa yang ditinggalkan dalam usaha merancakkan ekonomi dan mensejahterakan negeri.

“Rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang layak untuk menikmati kemakmuran bersama hasil daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha.

Berikut adalah perutusan penuh Dato’ Menteri Besar:

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar!

Ribuan tahun dahulu, junjungan kita Nabi Ibrahim A.S dengan penuh taat, telah tunduk dan patuh pada arahan Allah S.W.T untuk mengorbankan anak baginda sendiri, Nabi Ismail A.S. Pengorbanan tersebut, yang merupakan manifestasi cubaan dan ujian yang begitu besar, secara simboliknya menandakan kemuncak keimanan seorang hamba kepada tuhannya.

Hari ini, umat Islam menyambut Aidiladha bagi memperingati peristiwa besar tersebut. Kita diajak untuk memperbaharui akad dan mengulangi tekad dalam penyerahan total kepada Sang Pencipta seperti yang diucapkan lima kali sehari dalam setiap solat:

“Sesungguhnya solatku, pengabdianku, hidupku, matiku, semata-mata untuk Allah penguasa alam semesta”

(Surah Al-An’am: 162)

Di Tanah Suci, para Tetamu Allah sedang meraikan salah satu daripada dua hari kebesaran Islam ini setelah berwukuf di Padang Arafah dengan penuh sabar dan tabah. Anak Adam dari pelbagai bangsa, ras dan warna kulit tidak mengira kaya atau miskin bersama-sama menzahirkan ketaatan mereka kepada Tuhan Semesta Alam dalam satu pakaian, satu suara dan satu niat yang sama: mendapatkan keredhaan Allah.

Pengalaman beragama sebegini memberikan kita keinsafan bahawa tiada yang lebih mulia sesama kita, kecuali yang lebih bertaqwa. Tanpa mengira kaum dan kepercayaan, setiap warga adalah jiwa yang bermaruah dan mempunyai hak yang selayaknya.

Dalam gagasan #SelangorMajuBersama, tiada sesiapa yang ditinggalkan dalam usaha merancakkan ekonomi dan mensejahterakan negeri. Rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang layak untuk menikmati kemakmuran bersama hasil daripada kerajaan negeri.

Menginsafi hakikat ini, marilah kita terus berkorban jiwa raga dan sama-sama memajukan diri serta negara untuk mencapai tahap yang lebih baik. Buat penjawat awam Selangor: bersiap sedia kerana banyak yang perlu dilakukan dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12.

Buat para jemaah haji: semoga rukun Islam kelima kita menjadi sempurna dan setiap ibadah korban kita diterima hendaknya.

Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua muslimin dan muslimat dan selamat bercuti dan berhujung minggu buat semua.


Pengarang :