AGENDANASIONAL

KPDNHEP lantik 79 penyelaras kepenggunaan Parlimen

KOTA KINABALU, 8 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik 79 Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan bagi membantu masyarakat mengemukakan isu kepenggunaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dalam proses melantik PKP bagi kawasan Parlimen di Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

“Sehingga kini, PKP yang dilantik adalah bagi kawasan Parlimen Sabah dan Labuan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Daripada jumlah itu, 26 PKP dilantik di Sabah dan Labuan,” katanya pada majlis penyampaian watikah PKP Sabah dan Labuan di sini, hari ini.

Katanya, kementeriannya juga bersetuju mewujudkan jawatan PKP bagi seluruh 222 kawasan Parlimen.

“PKP yang dilantik untuk seorang setiap Parlimen perlu aktif memainkan peranan mereka khususnya sebagai fasilitator bagi membantu masyarakat mengemukakan isu kepenggunaan di peringkat akar umbi kepada kementerian serta jabatan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, ini juga memerlukan PKP yang dilantik menguasai dan memperkasakan ilmu kepenggunaan bagi membantu golongan pengguna di kawasan Parlimen masing-masing.

“PKP umpama jambatan penghubung di antara kementerian dan pengguna di luar sana. Untuk itu, PKP perlu menjalinkan kerjasama erat dengan KPDNHEP negeri dan agensi di negeri masing-masing,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :