BERITA UTAMA

KPDNHEP: Waspada beli barang dalam talian

SUNGAI BULOH, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu kerana kes penipuan membabitkan dalam talian semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, faktor lain berpunca daripada kadar bilangan pendaftaran syarikat e-dagang yang semakin meningkat di negara ini.

“Bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, pihak kami menerima kira-kira 11,393 kes membabitkan pelbagai aduan daripada masyarakat.

“Malah, daripada jumlah itu, 25.7 peratus adalah aduan berkaitan penipuan transaksi dalam talian iaitu kedua tertinggi selepas aduan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan ‘1st Student Entrepreneurship Program’ di Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Muez Abd Aziz.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menasihatkan pembeli supaya berwaspada ketika melakukan transaksi pembayaran sewaktu membeli-belah secara dalam talian.

“Kita ingin menasihatkan pembeli supaya lebih berhati-hati ketika mahu melakukan transaksi pembayaran, baik dengan syarikat atau individu yang menjualnya.

“Bagi mengelakkan menjadi mangsa, pembeli digalakkan menyemak profil dan syarikat penjual terlebih dahulu melalui laman sesawang KPDNHEP serta penjual yang berdaftar mestilah mendapat pensijilan Biztrust,” katanya.


Pengarang :