Kualiti udara di beberapa tempat di Johor semakin tidak sihat pada 26 Ogos 2019. Foto BERNAMA.com
AGENDANASIONAL

Kualiti udara di Johor semakin tidak sihat

KULAI, 26 OGOS: Pencerapan terhadap kualiti udara melalui lapan stesen pencerapan negeri menunjukkan terdapat trend ke arah kualiti udara yang semakin tidak sihat di beberapa tempat di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Beliau berkata, antara kawasan itu ialah daerah Batu Pahat yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kepekatan partikel halus (PM) 1.02 setakat jam 9 pagi tadi.

“Setakat ini, Batu Pahat telah mencatat indeks kualiti udara pada kadar PM 1.02. Ini bermakna ia sudah mencapai peringkat tidak sihat. Jadi kita menyeru kepada penduduk kalau rasa tidak selesa atau sesak nafas, sila pakai mask (topeng muka),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pembersihan khas sampah haram di Taman Lagenda Putra di sini, hari ini.

Chen Choon meminta pemilik tanah yang kosong atau belum diusahakan supaya sentiasa memantau keadaan tanah mereka bagi mengelakkannya dijadikan tapak pembuangan sampah haram yang seterusnya memungkinkan pembakaran dilakukan oleh pihak tertentu.

“Ini telah berlaku di banyak kawasan dan bagi pihak kerajaan, kita tidak akan mengizinkan perkara ini daripada terus berlaku sebab tapak pelupusan haram ini ada melibatkan juga pembakaran.

“Sekiranya pembakaran ini dalam cuaca sekarang yang sudah lebih kurang sebulan tidak hujan, ia mungkin akan mendatangkan kesan atau merebak lebih lagi sekiranya tanah tersebut adalah jenis tanah gambut. Ia akan merebak dengan cepat dan mengundang jerebu ke kawasan-kawasan lain, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk dan pelajar-pelajar di sekolah berdekatan,” katanya.

Mengenai operasi itu pula, Chen Choon berkata, pihaknya difahamkan kebanyakan sampah yang dibuang ke kawasan tersebut adalah sisa binaan.

Usaha untuk mengenal pasti identiti pemilik sebenar tanah tersebut akan dilakukan oleh Pejabat Tanah bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil mengikut undang-undang sedia ada, katanya.

Ditanya sama ada terdapat komplot antara pemilik tanah yang membenarkan tanahnya digunakan sebagai tempat pembuangan sampah haram, Chen Choon berkata, perkara itu perlu disiasat dahulu.

– BERNAMA


Pengarang :