AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

KUIS terima kemasukan 1,800 pelajar baharu

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 1,800 pelajar baharu mendaftar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi mengikuti pengajian matrikulasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada sesi kemasukan yang berakhir, baru-baru ini.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporatnya, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, daripada jumlah itu, pelajar pascasiswazah meningkat di bawah Pengurusan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) KUIS.

Katanya, pelajar pascasiswazah mendaftar bagi sesi 1 kemasukan 2018/2019 adalah 29 orang membabitkan 22 pelajar sarjana dan tujuh pelajar PHD menjadikan jumlah terkini seramai 129 orang.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kemasukan Pelajar KUIS, saya berterima kasih kepada semua dalam merealisasikan sasaran kemasukan pelajar baharu KUIS ini dicapai.

“Namun, KUIS tidak boleh berasa selesa kerana sasaran seterusnya pada sesi November 2019 perlu dicapai dalam memastikan kelestarian KUIS sebagai pusat pengembangan ilmu Islam di nusantara ini masih relevan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Zulkifli berkata, KUIS membuka ruang pekerja untuk melanjutkan pengajian di KUIS pada setiap hujung minggu di lokasi strategik dan mengikut fleksibiliti pelajar dan pensyarah.

Katanya, perancangan yang lebih teratur dan rapi akan diterus dilaksanakan Bahagian Pemasaran dan Komunikasi (BPK) KUIS supaya lebih ramai pelajar memilih KUIS sebagai gedung ilmu.

“Promosi secara besar-besaran dilaksanakan KUIS dalam usaha memastikan sasaran kemasukan pelajar bagi tahun 2019 dicapai.

“Komitmen dan kerjasama daripada semua warga KUIS, alumni, Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri meletakkan KUIS sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang tetap menjadi pilihan dalam usaha melahirkan Dai, Ulama dan Umara’,” katanya.


Pengarang :