Penunjuk perasaan berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 13 Ogos 2019. – Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Lapangan terbang Hong Kong kembali beroperasi

HONG KONG, 13 OGOS: Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi pada Selasa, sehari selepas semua penerbangan dibatalkan susulan tunjuk perasaan, lapor agensi berita China Xinhua.

Bagaimanapun, lebih 200 penerbangan masuk dan keluar Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong telah dibatalkan pada Selasa, menurut laman sesawang pihak berkuasa lapangan terbang itu.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong telah menasihati penumpang untuk memberi perhatian kepada maklumat penerbangan terkini menerusi laman sesawang dan aplikasi mudah alihnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa pagi, Air China berkata ia telah membatalkan 14 penerbangan ke dan dari Hong Kong pada Selasa dan Rabu, dan lebih banyak lagi penerbangan mungkin terjejas.

Syarikat penerbangan itu telah meningkatkan keupayaannya bagi laluan udara antara Beijing dan Shenzhen.

Semua penerbangan masuk dan keluar Hong Kong telah dibatalkan pada Isnin susulan tunjuk perasaan yang diadakan di lapangan terbang itu.

Sekumpulan besar penunjuk perasaan berhimpun di lapangan terbang itu sehingga menjejaskan operasi normal lapangan terbang tersebut, yang merupakan antara paling sibuk di dunia.

-BERNAMA


Pengarang :