AGENDANASIONAL

Laporan forensik lif jatuh di PPR Kerinchi siap Jumaat ini

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Laporan penuh siasatan forensik kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur akan diserahkan pada Jumaat ini (16 Ogos), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang mengendalikan siasatan itu kini di peringkat akhir penyiasatan sebelum menyerahkan laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mereka berjanji akan siapkan laporan secepat mungkin dan serahkan pada 16 Ogos ini,” katanya mengenai perkembangan insiden yang mengakibatkan lapan individu cedera pada 2 Ogos itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Terbuka Ski Air Dunia 2019 Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di sini hari ini.

Kejohanan enam hari itu menampilkan 150 peserta dari 32 negara di mana lapan daripadanya merupakan juara dunia yang bakal bersaing dalam tiga kategori iaitu Trick, Jump dan Slalom.

Berhubung cadangan wakil DOSH perlu hadir semasa kontraktor penyelenggara melakukan pemeriksaan lif, Khalid berkata beliau tidak pasti cadangan itu praktikal dilaksanakan atau sebaliknya memandangkan kakitangan DOSH juga agak terhad.

“Yang penting ialah pengeluar dan kontraktor dalam perkhidmatan dan penyelenggaraan lif melakukan kerja secara profesional, mematuhi prosedur dan setiap pemeriksaan direkodkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :