Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laporan lif PPR Kerinchi terhempas dalam masa terdekat

KUALA TERENGGANU, 3 OGOS: Hasil siasatan bagi mengetahui punca lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur terhempas sehingga menyebabkan lapan individu cedera petang semalam, dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, siasatan dijalankan pihak berkenaan, termasuk kontraktor dan bomba, akan dibuat dengan terperinci meliputi seluruh aspek termasuk penyelenggaraan lif itu sebelum ini.

“Kita tidak tahu lagi apa sebab sebenarnya, (antaranya) adakah syarikat yang patut mengendalikan lif itu menjalankan tugas seperti yang sepatutnya.

“Jadi kita kena tungggu laporan untuk spesifik kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Aspirasi Merdeka 2019, di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Pada masa sama, Raja Kamarul Bahrin Shah turut menyeru penghuni PPR dan Perumahan Awam seluruh negara supaya sentiasa memaklumkan kepada pihak berwajib jika lif di kawasan mereka tidak diselenggara dengan baik atau selalu rosak.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, sembilan individu menaiki lif berkenaan namun sebaik tiba di tingkat lima, lif tersebut mengalami kegagalan sebelum terhempas.

Insiden itu mengakibatkan lapan individu termasuk seorang kanak-kanak 10 tahun cedera, antaranya patah kaki, cedera di pergelangan kaki, dan tangan.

-BERNAMA


Pengarang :