ADNSELANGOR

Larangan kenderaan berat atasi kesesakan di Taman Templer Rawang

SELAYANG, 24 OGOS: Kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku sekitar Taman Templer Rawang menemui jalan penyelesaian apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak mewartakan larangan kenderaan berat pada waktu puncak, berkuatkuasa 14 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, ia membabitkan jarak sejauh lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga ke Rawang Bypass dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dan 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

Katanya, larangan berkenaan membabitkan kenderaan berat dengan muatan lima tan ke atas di lorong dua hala yang dikenalpasti menjadi antara punca gangguan trafik di kawasan terbabit.

“Larangan ini adalah mekanisme jangka pendek yang dirasakan sesuai bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

“Di kawasan itu, kenderaan berat menjadi perlahan ketika melalui jalan berbukit dan jalan di bawah akan berlaku kesesakan, manakala kenderaan lain bergerak ke arah yang sangat perlahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sany berkata, sebelum ini pihaknya sering membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk berbincang dan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasinya.

“Di peringkat persekutuan, Ahli Parlimen Selayang, William Leong sudah banyak kali menyebut soal ini untuk kita memohon peruntukan daripada kerajaan bagi tujuan melebarkan jalan dari Selayang hingga ke Rawang.

“Malah, saya dan ADN Rawang, Chua Wei Kiat sering membawa persoalan berkaitan pelebaran jalan di Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) selain disusuli lawatan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dua minggu lalu untuk melihat keadaan jalan.

“Kita sangat berharap kerajaan persekutuan dan JKR dapat meluluskan segera peruntukan untuk kerja-kerja melebarkan jalan ini daripada dua kepada tiga lorong,” katanya.

Difahamkan, JKR Gombak akan memasang papan tanda peringatan dalam tempoh terdekat dan mengedarkan pemakluman penguatkuasaan larangan kepada agensi-agensi berkaitan.


Pengarang :