Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melaungkan ungkapan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali tepat detik 12 tengah malam ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 30 Ogos 2019. – Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laungan ‘Merdeka’ bergema di Shah Alam

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dataran Kemerdekaan Shah Alam bergema dengan laungan Merdeka bagi meraikan Hari Kebangsaan Ke-62, tepat detik 12 tengah malam tadi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melaungkan ungkapan keramat itu sebanyak tujuh kali diikuti laungan sama lebih 10,000 warga Selangor yang hadir dengan penuh rasa cintakan negara tanpa mengira kaum dan agama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengenakan seragam tentera sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 30 Ogos 2019. – Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor 2019 itu ialah isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’, kemeriahan sambutan dan semangat patriotisme jelas terpancar pada raut wajah pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat serta latar belakang yang memenuhi segenap ruang dataran seawal jam 8 malam.

Lebih membanggakan, hampir sebilangan besar pengunjung hadir dengan pelbagai pakaian bermotifkan Jalur Gemilang selain baju berunsur patriotik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi tabik hormat kepada Perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Membuka gelanggang acara, penyanyi tanah air, Syamel AF dan Ara Johari menghiburkan pengunjung dengan beberapa lagu single mereka.

Ia disusuli persembahan koir daripada Kumpulan Koir Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan lagu Malaysia Bersih dan Kita Bangsa Merdeka termasuk persembahan tarian bertemakan Sayangi Malaysiaku oleh Perbadanan Adat Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Kumpulan Deklamasi Sajak dan Lakonan (DEKON) Universiti Selangor (UNISEL) mengetengahkan bakat lakonan di perkarangan dataran sebelum diteruskan dengan pertunjukan Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sempena sambutan kali ini, sebanyak 65 kontinjen turut mengambil bahagian dalam perarakan membabitkan pasukan perbarisan, kumpulan pancaragam dan kumpulan perarakan jemputan.

Seramai 1,000 anak-anak Generasi Harapan Selangor terdiri daripada pelajar sekolah menengah di sekitar Shah Alam dan Subang Jaya turut mengambil bahagian dalam perarakan terbabit.

Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota Bomba menggamit perhatian pengunjung dengan persembahan Kawad Senyap serta Technical Rope Rescue.

Kemeriahan sambutan memuncak apabila 11 Briged Askar Melayu tampil membuat persembahan Pentomin bertajuk Perjuangan Anak Selangor Jeneral Datuk Mohd Nordin dan pertunjukan War Cry.

Selesai kesemua persembahan, Leftenan Kolonel Ridzuan Shoib daripada Rejimen 502 Askar Wataniah membacakan ikrar Rukun Negara sambil diiringi kumpulan badan beruniform.

Lagu Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang mengakhiri sambutan gilang-gemilang itu.


Pengarang :