AGENDANASIONAL

Lawatan Agong ke Indonesia kukuhkan persahabatan 62 tahun

JAKARTA, 25 OGOS: Lawatan negara empat hari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Indonesia, bermula esok mencerminkan keakraban Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara yang terjalin sejak 62 tahun lalu.

Lawatan negara yang berlangsung dari 26 hingga 29 Ogos itu adalah lawatan sulung Sultan Abdullah ke Indonesia sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai lalu.

Hubungan akrab kedua-dua negara turut diterjemahkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang mengadakan lawatan pertama ke Malaysia pada 9 Ogos lalu, setelah dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden, pada 17 April lalu.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar ketika ditemui berkata, fokus lawatan negara itu bertujuan mengukuhkan tali persaudaraan yang terjalin sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Lawatan itu akan mengeratkan kerjasama dua hala Malaysia dan Indonesia terutamanya dalam bidang ekonomi yang merangkumi aspek pelaburan dan perdagangan, pelancongan dan pendidikan,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, hari ini.

Zainal Abidin menarik perhatian terdapat hampir 4,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di republik itu, manakala 11,000 pelajar Indonesia berada di Malaysia.

“Itu aspek yang kita mahu wujudkan supaya lebih ramai pelancong dan pelajar-pelajar dari Indonesia untuk terus datang ke Malaysia, sekali gus terus menjalin ikatan mesra antara kedua-dua negara,” katanya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Jokowi dan isterinya, Iriana Jokowi di Istana Bogor, Jakarta.

Baginda berdua juga turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Petang bersama rakyat Malaysia di Indonesia dan berangkat melawat Masjid Istiqlal di Jakarta.

Rombongan lawatan negara itu turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring serta pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan turut berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

Indonesia adalah negara jiran paling dekat dan terpenting untuk Malaysia dan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala direkodkan adalah RM72.02 bilion, meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion pada 2017.

-BERNAMA


Pengarang :