AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lawatan MB ke China tumpu usaha tarik pelaburan

BATU CAVES, 31 OGOS : Lawatan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ke China bermula esok menumpukan usaha menarik pelaburan dari negara itu terutamanya dari syarikat alat telekomunikasi terkenal, Huawei.

Amirudin berkata, lawatannya ke Shenzen akan mempelawa syarikat-syarikat besar dari China dengan menawarkan kemudahan dari segi infrastruktur yang dimiliki Selangor.

“Kita akan memperkukuhkan persediaan dari segi jalur lebar kerana Kerajaan Selangor mahu mereka melabur di sini, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ini adalah lawatan kali pertama dan ia dijangka berlangsung hingga 4 September ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, pada 7 April lalu, Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim mengumumkan China mencatatkan pelaburan tertinggi di Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion setakat ini.

Pelaburan itu membabitkan pelaburan dalam barangan berasaskan logam.

Sementara itu, pada 20 Mac lalu, Amirudin pula mengumumkan Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila mencatatkan rekod tertinggi sejak 30 tahun lalu dalam pelaburan di negeri ini.

Prestasi pelaburan negeri mencatatkan prestasi terbaik bagi Selangor secara amnya dan khusus kepada Invest Selangor Berhad.


Pengarang :