AGENDANASIONAL

Lebih 4,000 cermin mata tiruan jenama terkenal disita

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 4,320 unit cermin mata dan bekas menyimpan cermin mata jenama Ray-Ban yang dipercayai tiruan bernilai RM90,783, dalam serbuan di tiga premis di Wangsa Maju dan Lorong Haji Taib di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, operasi yang bermula kira-kira 2.30 petang semalam itu disertai sembilan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur bersama beberapa wakil cap dagang.

“Pasukan serbuan menahan tiga individu berumur lingkungan 20-an hingga 50-an terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Azeem berkata, statistik bagi 2019 setakat hari ini menunjukkan terdapat 82 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan jumlah sitaan sebanyak 60,482 unit bernilai RM2,214,111.

“Sehingga kini, sebanyak 20 tangkapan dibuat membabitkan empat warga tempatan dan 16 warga asing,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :