Selangorkini
V Ganabatirau bersama Datuk RS Mohan Shan (dua dari kiri) bergambar bersama peserta Majlis Pertandingan 42th Thirumurai Recital Contest 2019 anjuran Malaysia Hindu Sangam di SJKT Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Lebih 800 pelajar jayakan “Thirumurai Vizha” 2019

GOMBAK, 25 OGOS: Lebih 800 pelajar beragama hindu di seluruh Selangor menjayakan program “Thirumurai Vizha” 2019 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Caves, di sini hari ini.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program anjuran Malaysia Hindu Sangam yang memasuki tahun ke-55 itu bertujuan membina jati diri anak muda khususnya.

“Program ini amat bagus kerana ia berupaya mendidik golongan muda dalam hal keagamaan, sekali gus mencegah mereka dalam kancah sosial.

“Saya juga amat berbangga dengan Malaysia Hindu Sangam kerana mereka antara organisasi badan bukan kerajaan yang sentiasa berusaha menganjurkan program bermoral dan bermanfaat walaupun kekurangan dana,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama, Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk RS Mohan Shan.

Pada masa sama, beliau optimis Kerajaan Negeri dapat memberikan peruntukan lebih kepada persatuan terbabit untuk menjalankan beberapa program bagi mendidik moral kaum India khususnya.

“Kerajaan Negeri atau Persekutuan seharusnya memberikan sokongan sewajarnya supaya program menjatikan diri anak muda dapat dipertingkatkan.

“Melalui program ini juga, ia mampu membawa kebaikan kepada belia India untuk lebih fokus dalam hal berunsurkan keagamaan dan rohani memandangkan mereka sering dilihat terbabit dalam aktiviti jenayah.

“Oleh itu, saya berharap kita terus memberikan sokongan supaya golongan ini terus mempunyai harapan pada masa hadapan,” katanya.

“Thirumurai Vizha” adalah program keagaamaan kaum India dengan menampilkan persembahan serta bacaan ayat suci mengikut kepercayaan kaum terbabit.


Pengarang :