Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Lelaki ditahan selepas mengamuk kerana cermin sisi keretanya dilanggar

JOHOR BAHRU, 15 OGOS: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana mencederakan seorang lelaki lain menggunakan kayu di kawasan parkir sebuah restoran di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis
Shahurinain Jais berkata, kejadian pada pukul 11 malam itu berlaku disebabkan rasa tidak puas hati lelaki yang berumur 43 tahun itu kerana cermin sisi kenderaanya dilanggar oleh mangsa yang berumur 44 tahun.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bersama anak dan isterinya berada di dalam kenderaan mereka untuk mencari kedai makan di kawasan perumahan itu.

“Suspek yang sedang dalam keadaan marah turut membawa tujuh individu lain bersamanya.

“Suspek juga memaksa mangsa keluar dengan mengetuk kereta mangsa dengan kayu dan sebaik keluar, mangsa dipukul beramai-ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata, pergaduhan itu dileraikan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, yang pada ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan terbabit.

“Polis berjaya menahan suspek, namun yang lain berjaya melarikan diri. Siasatan lanjut mengenai kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :